KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menilai semula tender kerajaan membabitkan projek-projek tebatan banjir bagi memastikan proses yang berjalan akan dilaksanakan secara telus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan mengeluarkan semula tender bagi enam projek tebatan banjir selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

“Saya telah tegaskan perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat terutamanya berkait soal tebatan banjir.

“Sedangkan projek ini mustahak dan menelan belanja yang besar. Ketelanjuran lalu yang secara gopoh meluluskan projek tebatan banjir telah dibatalkan dan kini sedang dalam siasatan dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Peguam Negara," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023 di parlimen pada Jumaat.


IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI

Tegasnya lagi, pelaksanaan ini juga bertujuan untuk memastikan pelaksanaan tersebut mampu mencapai matlamatnya selain memberi penjimatan kepada kerajaan.

Anwar menyatakan, negara juga mampu untuk berjimat sebanyak RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini.

Selain itu, antara projek yang akan tender semula antaranya melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor, pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor.